August 21, 2015

PENUBUHAN DEIG CETUS PERSOALAN DAN KEBIMBANGAN RAMAI

Terdapat banyak persoalan yang timbul mengenai penubuhan entiti baru kerajaan negeri Selangor, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bagi menguruskan pelaburan anak syarikatnya. Persoalan paling utama adalah kenapa ia ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1967?

Apakah agenda tersirat di sebalik penubuhan DEIG? Bukan sahaja pembangkang di Selangor malah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP serta PAS turut meragui penubuhannya.

Ia turut ditubuhkan tanpa mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).

budiman
Budiman Mohd. Zohdi

Setiausaha Adun Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd. Zohdi ketika menyuarakan kebimbangan mengenai penubuhan DEIG berkata, apabila ia ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, ini bermakna DEIG menikmati status bebas dan tidak perlu membentangkan kedudukan laporan kewangan syarikat dalam sidang DUN.

Keadaan ini menjurus kepada perbuatan salah laku dan penyelewengan.

Ia juga menjadikan DEIG sebagai sebuah syarikat yang tidak kelihatan, sekali gus membolehkan ia terdedah kepada percanggahan dan penyalahgunaan kuasa dari segi ketelusan maklumat mengenai kewangan dan keputusan secara amnya.

“Selain itu, tiada pemantauan dapat dijalankan terhadap aktiviti syarikat terutama ketika menandatangani kontrak dan menjalankan pelaburan usahasama,” katanya pada sesi penjelasan mengenai DEIG, malam tadi..

Beliau turut mempersoalkan jika benar maklumat yang diterima menyatakan bahawa Azmin yang merupakan pengerusi MBI, turut memegang jawatan sama dalam DEIG, maka adakah DEIG sudah menjadi anak syarikat pemerbadanan tersebut.

Sepatutnya kata Budiman, kerajaan Selangor memperkukuhkan dan memperkasakan dulu MBI terutama dalam soal pengurusan pelaburan.

“Penubuhan DEIG sudah pasti memerlukan tambahan kos dalam menampung operasi entiti itu, sekali gus ia pasti akan mempengaruhi kedudukan kewangan MBI.

“Malah cadangan pemindahan aset MBI berjumlah RM6.3 bilion kepada DEIG turut mengundang risiko yang amat tinggi kerana terdedah kepada faktor ketidaktentuan pasaran atau salah laku aktiviti pelaburan dan perdagangan,” katanya.

Jelasnya, jika aktiviti pelaburan dan perdagangan yang tidak boleh dipantau itu memerlukan DEIG membuat pinjaman, ia tentu akan mempengaruhi kadar hutang yang ditanggung oleh entiti baru tersebut.

“Apa yang kita bimbang, ia akan melibatkan campur tangan daripada MBI atau kerajaan negeri termasuklah kemungkinan berlaku penjualan aset milik MBI atau milik anak-anak syarikat lain bagi menampung liabiliti tersebut.

“Keadaan ini bakal menjurus kepada kehilangan aset milik MBI,” katanya

No comments:

Post a Comment