Sehingga artikel ini ditulis, penulis berpendapat bahawa Azmin Ali merupakan antara ahli politik yang bijak menguruskan imejnya dalam gelora politik Selangor.
Suka tidak suka, beliau lebih suka berdiam diri dari menjawab isu-isu yang melingkari dirinya. Cuba saudara, saudari menoleh ke belakang, dan kembali mengenang isu-isu tersebut. Penuh dengan skandal, dan berstatus “panas”.
Sifat diam itu ternyata lebih baik dari sesetengah pemimpin UMNO, yang terlalu suka menjawab di media tetapi akhirnya memberi impak negatif kepada UMNO dan Barisan Nasional. Bagi Azmin, beliau menggunakan strategi diam untuk menurunkan suhu politiknya.
Mengapa diam menjadi senjatanya, terungkai pada sidang DUN Selangor yang lalu dalam beliau menjawab isu RM30 juta Darul Ehsan Group Investment.
Pemerhatian penulis menyaksikan bahawa beliau cuba mengelak untuk menjawab isu pokok DEIG, tetapi lebih kepada jawapan-jawapan sarkastik terhadap mereka-mereka yang cuba membangkitkan isu berkenaan.
Lebih tepat, Azmin Ali lebih gemar membuat “character assassination” terhadap ADUN-ADUN yang bersuara atas isu tersebut. Hujahnya tetap ingin mengaitkan betapa bagusnya pemerintahan Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional di Selangor. Mujur pada waktu itu belum ada maklumat tentang bilangan GLC yang mengalami kerugian. Jika tidak, pasti merah padam mukanya jelas kelihatan.
Jawapan-jawapan yang diberikan pantas dikilas oleh ADUN Damansara Utama berdasarkan fakta, yang akhirnya menyaksikan dirinya tidak mampu lagi membendung emosi amarahnya sekalipun cuba bersikap tenang. Jika tenang, beliau harus menjawab perkara pokok, dan bukannya bersifat sarkastik dan cuba merendah-rendahkan ADUN-ADUN yang bersuara atas kebimbangan wujudnya DEIG yang berstatus syarikat RM2 itu.
Paya Jaras, Bukit Tunku, Damansara Utama semua membangkitkan kebimbangan atas kewujudan DEIG yang dilihat akan berlegar di atas Menteri Besar Incorporated sekaligus memberi kuasa penuh persis sebuah syarikat sendirian berhad, berbanding perbadanan yang terikat dengan enakmen negeri Selangor.
Malah, desakan dari Sungai Panjang agar Azmin menjawab perkara pokok berkenaan DEIG juga tidak dijawab. Azmin enggan menjawab.
Hujah kononnya DEIG hanya akan beroperasi tahun hadapan sudah terbatal dengan dakwaan bayaran zakat yang dibuat, serta liputan berita di The Edge.
Hujah kononnya SPRM menegaskan tiada apa-apa yang pelik berlaku di dalam DEIG juga tidak boleh digunapakai, kerana pihak pembangkang hanya mengambil satu perenggan dari seluruh kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM.
Azmin terus membisu, mungkin juga sedang memikirkan apakah strategi terbaik bagi keluar dari skandal terbaru ini. Tekanan yang kini dihadapinya bukan sekadar dari sudut isu semasa, malah juga tahaluf siyasinya.
Laman twitter menjadi saksi “perang” antara dirinya dengan Teo Ni Ching. Ramkarpal juga memberi kata dua kepada Azmin, samada memilih DAP atau PAS. Pandai pula Azmin menjawab dalam soal pilih antara PAS atau DAP.
Tapi, mengapa terus membisu tentang DEIG?
No comments:
Post a Comment