December 25, 2014
Calon PT3 bukan bahan uji kaji.
Kementerian Pendidikan hari ini menegaskan bahawa tujuan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bukan untuk menjadikan para pelajar sebagai bahan uji kaji manakala soalannya juga tidak disediakan dalam masa yang singkat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof sebaliknya berkata, soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada seperti diguna pakai di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan formatnya selari dengan instrumen Pentaksiran Sekolah (PS) yang dilaksanakan sejak tingkatan satu lagi.
Pada masa sama beliau berkata, keputusan PT3 pada Isnin lalu juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh dan ke aliran sains atau sastera kerana pemilihan turut mengambil kira laporan keempat-empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu PS, Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3.
“Kementerian juga ingin menekankan bahawa keputusan PT3 tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan PMR kerana format dan instrumen kedua-duanya berbeza. Soalan PT3 beorbentuk subjektif atau respons terbuka manakala bentuk soalan PMR lebih kepada objektif atau aneka pilihan.
“Struktur soalan baharu PT3 memerlukan pelajar menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran ketika menjawab daripada bentuk objektif yang hanya mereka memerlukan menghafal sukatan pelajaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas reaksi orang ramai termasuk ibu bapa calon PT3 yang memberi pelbagai respons positif dan negatif mengenai keputusan pentaksiran itu yang diumumkan kelmarin.
Dalam pada itu, Khair turut menjelaskan, nisbah aras kesukaran soalan adalah berbeza iaitu PT3 3:4:3 (rendah: sederhana: sukar) berbanding PMR 5:3:2 (rendah: sederhana: sukar) dan kaedah penggredan masing-masing juga tidak sama.
“Penggredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) sementara penggredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard atau gred dibuat menerusi prestasi keseluruhan calon,” katanya.
Selain itu beliau berkata, PT3 juga merupakan pentaksiran sumatif yang setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.
Khair dalam kenyataannya itu turut menegaskan bahawa dakwaan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dikatakan menjadi penyebab kemerosotan pencapaian pelajar adalah tidak benar kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis.
Kata beliau, Lembaga Peperiksaan juga amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor dan untuk memastikan perkara tersebut, satu panduan perskoran telah disediakan malah guru-guru dilatih bagi tujuan itu selain melantik pentaksir luar yang berkecuali.
“Kementerian juga ingin menjelaskan empat komponen PBS ini telah disampaikan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak 2012 menerusi program turun padang ‘Outreach PBS Public Engagement PIBG’.
“Di samping itu kementerian juga telah membuat hebahan dan memberi kefahaman mengenai PT3 termasuk PBS menerusi media elektronik, portal Lembaga Peperiksaan termasuk media cetak,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, kementerian sentiasa menerima pandangan dan maklum balas daripada semua pihak dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya.
“Oleh itu, pihak kementerian akan terus meneliti termasuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak demi memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang terbaik,” katanya.
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment