December 26, 2014

Jangan Terpengaruh Dengan Propaganda Pembangkang Negara Akan Bankrap – Sharkar


KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menyangkal kenyataan pihak pembangkang yang mendakwa penyusutan ringgit akan menyebabkan negara bankrap dan menyifatkan kenyataan tersebut hanyalah sekadar satu provokasi politik semata-mata.

Menurut beliau, apa yang perlu rakyat faham ialah, penyusutan ringgit itu bukanlah secara menyeluruh tetapi hanyalah dengan beberapa buah negara yang menggunakan matawang USD dalam urusan perniagaan mereka.

“Sepertimana di Jepun, ringgit masih lagi berada di tahap yang sama. Penyusutan ringgit Malaysia bukanlah secara global yang melibatkan keseluruhan urusan perniagaan Malaysia di seluruh negara dunia, tetapi hanya dengan negara-negara yang menggunakan matawang USD dalam urusan perniagaan mereka saja.

“Jika kita tengok negara-negara lain seperti di Rusia juga, nilai matawang mereka juga turut menyusut. Penyusutan ringgit ini berlaku akibat harga komoditi dunia jatuh dan secara tak langsung ianya turut melibatkan nilai matawang kita.

“Jadi kalau pembangkang kata negara kita akan bangkrap berdasarkan penyusutan ringgit hari ini, itu tidak betul. Lagipun penyusutan ringgit itu bukanlah ditahap yang kritikal yang membolehkan negara kita bangkrap,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, pihak pembangkang akan memanipulasikan apa saja isu demi untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dengan menyebarkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Sudah berapa kali pembangkang mendakwa negara kita akan bankrap dan Alhamdulilah, ekonomi negara masih kukuh hingga ke hari ini. Memanglah mereka itu pembangkang tetapi sepatutnya pembangkang yang baik tidak menyebarkan cerita yang tidak benar untuk kepentingan politik mereka.

“Yakin dan percayalah bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri dan melakukan sesuatu yang terbaik dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi negara bagi manfaat rakyat di negara ini.

“BN sudah memerintah sejak merdeka dan sudah tentu kita berpengalaman dalam menghadapi situasi seperti ini, malah situasi yang lebih kritikal dari ini juga pernah kita tempuhi,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta agar rakyat tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang mendakwa negara akan bankrap.

“Kenyataan seperti itu hanyalah semata-mata satu kenyataan demi kepentingan politik mereka saja, seperti mana pelbagai dakwaan mereka sebelum ini yang terbukti tidak benar. InsyaAllah saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan dalam usaha memastikan ekonomi dan pembangunan negara terus membangun demi manfaat untuk rakyat di negara ini,” katanya.-MediaUMNO


No comments:

Post a Comment