December 26, 2014
Sistem Telekomunikasi Di Negeri-negeri Dilanda Banjir Berfungsi - SKMM
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Sistem telekomunikasi di negeri-negeri yang dilanda banjir, pada keseluruhannya berfungsi dengan baik.
Ketua Bahagian Koordinator Wilayah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Mohd Hussin Ali berkata sistem telekomunikasi di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir dapat berfungsi dengan baik walaupun ada kalanya sistem itu tidak stabil.
Katanya kawasan yang mengalami gangguan internet dan telefon ketika ini hanya membabitkan Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah, kesemuanya di Kelantan, susulan banjir semakin buruk di kawasan terbabit.
SKMM sedang berusaha memastikan sistem telekomunikasi di negeri-negeri yang dilanda banjir dapat berfungsi dengan baik terutamanya di tempat-tempat strategik termasuk hospital dan pusat pemindahan banjir, katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata persiapan telahpun bermula sebelum berlaku banjir lagi apabila SKMM bersama-sama syarikat telekomunikasi telah meninggikan platform dan rak peralatan pemancar terutama di kawasan yang kerap dilanda banjir.
Mohd Hussin berkata mereka juga telah menyediakan bateri sokongan yang dapat bertahan selama empat hingga lapan jam di semua tapak-tapak pemancar di kawasan-kawasan berisiko banjir.
Selain itu, pemasangan set generator kekal berkapasiti sehingga 30 kVA (Kilovolt-amps) atau dua hingga empat hari di semua tapak-tapak pemancar utama turut dilakukan.
"SKMM dan syarikat penyedia telekomunikasi turut bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pejabat-pejabat daerah untuk pemasangan set generator mudah alih terutama kawasan yang tidak boleh diakses dengan kenderaan atau sekiranya genset kekal terputus bekalan minyak," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan jalan yang tidak boleh dilalui akibat banjir dan pergerakan arus deras banjir menyukarkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menghantar bekalan minyak yang diperlukan oleh set generator dan SKMM sedang memikirkan kaedah alternatif untuk membawa minyak.
"Memang sebelum banjir lagi kita telah menyediakan stok simpanan minyak sama ada petrol atau diesel untuk kegunaan genset, apabila bekalan minyak telah habis kami boleh membawa bekalan minyak dari lokasi-lokasi lain yang tidak mengalami banjir.
"Namun, kami perlu mendapat kerjasama daripada pasukan penyelamat untuk membawa minyak dan genset mudah alih dengan menaiki bot untuk masuk ke kawasan-kawasan yang terputus hubungan," katanya.
SKMM juga menasihatkan pengguna terutama di negeri-negeri yang dilanda banjir supaya meminimumkan penggunaan telefon dan internet bagi mengurangkan kesesakan talian.
SKMM meminta mereka hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membuat panggilan penting sahaja untuk menjimatkan bateri telefon dan tenaga elektrik.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment