December 30, 2014

Teknologi Sudah Menjadi Alat Pendusta, Menghakis Nilai Kemanusiaan



Oleh Ahmad Soffian

Apa yang ingin penulis sampaikan di sini adalah sifat kita sebagai manusia di dalam menerjah arus siber yang seolah-olah menghakis jiwa dan nurani masyarakat kita. Sedang kita sibuk memandang skrin telefon, computer atau apa-apa gajet yang pada dasarnya untuk memudahkan kerja seharian, kita mungkin telah hilang nilai kemanusiaan di dalam diri kita.

Jika para pembaca melihat senario di negara kita ini, apabila ada sesuatu kejadian (terutamanya tragedi) rakyat Malaysia akan cepat melatah. Ada pula yang sanggup mereka-reka cerita palsu. Tujuan mereka hanya mereka sahaja yang tahu, kerana jika difikirkan dari sudut apa pun tidaklah dapat kita meneka apa yang sebenarnya mereka mahukan. Lebih parah lagi apabila tulisan rekaan mereka dipercayai pula oleh orang ramai. Lantas menyebabkan kekeliruan yang menyusahkan lagi pihak yang sedang bekerja keras untuk membetulkan keadaan.

Dari kejadian Lahad Datu hinggalah bencana banjir yang melanda seluruh tanah air, masyarakat kita seolah-olah berpesta di alam siber. Kita disajikan dengan berita palsu, tuduhan liar dan kritikan yang merosakkan lagi bukan sahaja usaha untuk menyelamat, tetapi kesatupaduan kita sesama rakyat juga semakin lama semakin rapuh.

Albert Einstein seorang saintis tersohor pernah mengatakan bahawa “Saya amat takut sekiranya teknologi akan mengatasi interaksi kita sesama manusia. Maka akan lahirlah generasi manusia yang bodoh”.

Perkara ini dilihat semakin lama semakin menjadi realiti, dimana teknologi telekomunikasi yang sewajarnya mengeratkan kita akhirnya memakan diri sendiri. Kita cepat percaya dengan apa yang di “post” di laman sosial, portal dan blog sehingga ramai diantara kita yang seolah-oleh tidak boleh berfikiran rasional.

Islam pula menganjurkan kita supaya periksa dahulu sesuatu berita yang kita dapat. Di dalam Surah Hujurat Ayat 6 “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” Itu berita dari orang yang datang bersemuka dengan kita, inikan pula berita yang ditulis entah siapa dan entah dari mana sumbernya.

Bukankah beban pembuktian yang kita perlukan untuk mempercayai berita dari orang-orang yang menulis dari alam maya ini lagi berat untuk kita pastikan kebenarannya? Apakah kita telah menjadi jumud dan malas sehingga apa sahaja yang disajikan di internet dianggap sebagai sahih dan benar sahaja?

Ronggowarsito seorang pujangga jawa pernah menyatakan tentang ‘zaman edan’ di Indonesia pada abad ke-19. Zaman edan atau zaman gila ini untuk memaparkan kegilaan yang berlaku di dalam negaranya. Kini kita di Malaysia pun boleh menggunakan ungkapan yang sama. Kegilaan rakyat Malaysia dengan gajet dan teknologi sehingga hilang jiwanya dan fikirannya. Kosong ruhnya sehingga apa sahaja yang dilihat oleh mata terus dipercaya.

Ya, negara kita sedang bertarung dengan tragedi banjir ditambah pula dengan tragedi kapal terbang yang ketiga pula hilang. Tetapi tragedi yang Maha Hebat lagi adalah apabila rakyat Malaysia sendiri yang kononya sudah bertamadun, bijak, moden dan saksama gagal untuk menjaga ketamadunan tersebut di alam siber.

Doa dan harapan saya untuk mangsa dan keluarga yang terperangkap dalam musibah. Doakan supaya segalanya selamat dan agar kita rakyat yang lain ini tidak terus hanyut dalam permainan dusta yang kita ciptakan sendiri


No comments:

Post a Comment