December 24, 2014
DAP tidak benarkan PAS bertindak sendirian.
DAP menafikan parti itu dan Pas berkongsi pendirian ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam soal pembentangan rang undang-undang persendirian berhubung pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat.
Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, pendirian yang dicapai pada 24 September 2011 hanya menegaskan bahawa hudud bukan sebahagian daripada dasar bersama pakatan pembangkang selagi ia tidak dipersetujui oleh semua parti.
Menurut beliau, maksudnya adalah jelas iaitu Pas tidak akan meneruskan pelaksanaan hudud secara bersendirian tanpa persetujuan pakatan pembangkang.
“Kita dimaklumkan bahawa Majlis Pimpinan pakatan pembangkang tidak akan dimaklumkan tentang butiran sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhubung pelaksanaan hudud pada 29 Disember ini.
“Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang kepentingan dan nilai pakatan pembangkang pada pandangan pucuk pimpinan Pas,” katanya menerusi laman blognya di http://blog.limkitsiang.com hari ini.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyatakan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bersetuju bahawa Pas berhak meneruskan usaha untuk melaksanakan hudud dengan syarat ia dilakukan mengikut proses yang betul.
Pas sebelum ini dikritik berikutan keengganan parti itu berkongsi butiran terperinci tentang pelaksanaan hudud bersama sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Kit Siang menambah, pakatan pembangkang mungkin kalah teruk sekiranya hudud menjadi isu kontroversi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Barisan Nasional (BN) bukan sahaja berupaya memenangi semula majoriti dua pertiga di Parlimen malah, pakatan pembangkang mungkin kehilangan Selangor selain daripada Kedah manakala Johor kembali menjadi ‘simpanan tetap’ BN,” jelasnya.
Beliau memberitahu, masa depan pakatan pembangkang juga terumbang-ambing ekoran tindakan salah satu parti komponennya yang dianggap sebagai penghinaan terhadap sekutu-sekutunya yang lain.
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment