March 24, 2015

Krisis Air Selangor Bakal “Telanjangkan” Azmin Ali


KUALA LUMPUR, 24 Mac – Sejak Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat, bermacam-macam musibah melanda negeri itu. Kemelut yang silih berganti telah melemahkan Selangor sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan ekonomi rakyat.

Apabila Azmin Ali mula memegang jawatan Menteri Besar Selangor, krisis yang melanda negeri itu semakin meruncing. Sebelum ini kita terpedaya kononnya Azmin Ali seorang individu yang berwibawa dan mampu memacu ekonomi Selangor.

“Don’t judge a book by its cover”. Rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Kegagalan Azmin Ali mengotakan janji dalam masa seratus hari pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Selangor merupakan “sumpahan” terhadap beliau.

Malahan beliau turut menjadi “bahan lawak” apabila isu longkang, sampah, aedes, jalan dan sebagainya disentuh. Lebih-lebih lagi apabila Azmin telah membatalkan dua kontrak besar yang telah dimaterai sejak zaman Khalid Ibrahim lagi.

Pada 16 Februari lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pembatalan projek pembinaan Kidex atas alasan syarikat konsesi gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan. Namun beliau mengubah kenyataan apabila menafikan pernah mengumumkan pembatalan projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) seperti diumumkan sebelum ini, sebalik­nya hanya membatalkan pembangunannya.

Selepas itu pula, Kerajaan Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan. Kononnya keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Persekutuan melanggar terma perjanjian pada September tahun lalu.

Ketidak wibawaan Azmin makin tercalar apabila kerajaan persekutuan mendedahkan bahawa kerajaan Selangor pimpinan Azmin gagal melaksanakan peruntukan tertentu yang dipersetujui. Ini termasuk kegagalan syarikat Air Selangor memindahkan aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi membolehkan PAAB menyediakan peruntukan RM1.68 bilion.

Peruntukan itu adalah bagi membantu kerajaan negeri menerusi Air Selangor mengambil alih syarikat konsesi air seperti Syabas, Puncak Niaga dan ABASS. Dengan kata lain kerajaan Selangor gagal menyelesaikan isu-isu berkenaan bagi membolehkan Perjanjian Utama itu dilaksanakan meskipun diberi tempoh lanjutan diberikan.

Kini krisis air Selangor “menghantui” rakyat lagi. Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur sejak minggu lepas lepas ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran air mentah dan penutupan rumah pam.

Rakyat tahu bahawa pentadbiran Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi masalah bekalan air di negeri itu. Azmin hanya memberi kenyataan retorik tanpa ada pelan tindakan konkrit bagi menghadapi masalah gangguan bekalan air terawat yang terlalu kerap berlaku sekitar Lembah Klang walaupun tiada masalah bekalan air mentah.

Azmin dilihat sebagai lembab dan tidak proaktif untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih. Beliau seolah-olah masih “berbulan madu”. Krisis demi krisis ini bakal “menelanjangkan” Azmin Ali satu persatu. Rakyat Selangor juga yang terpaksa menanggung kesengsaraan

March 10, 2015

Selangor Enggan Selesaikan Syarat Perjanjian Utama Punca Penstrukturan Air Tertangguh

#Selangorku

Pelaksanaan penstrukturan air di Selangor tertangguh disebabkan kerajaan negeri itu enggan menyelesaikan tiga daripada lapan syarat Perjanjian Utama dengan kerajaan pusat melanjutkan krisis bekalan air bersih negeri itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata ini termasuk syarat supaya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memuktamadkan senarai aset miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan kepada Air Selangor mengikut kehendak Akta 655.

Katanya Air Selangor juga masih belum selesaikan urusan pindah milik aset kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk membolehkan PAAB menyediakan peruntukan berjumlah RM1.68 bilion bagi membantu Air Selangor membiayai kos pengambilalihan syarikat konsesinya.

“Air Selangor masih belum menyelesaikan urusan pindah milik aset air syarikat konsensi kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat konsensi oleh PAAB yang berjumlah RM7.65 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azmin Ali (Gombak-PKR) mengenai komitmen kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Perjanjian Utama Penstrukturan Air Negeri Selangor yang masih belum selesai, di Dewan Rakyat, hari ini.

Maximus berkata sungguhpun Perjanjian Utama telah ditandatangani, ia masih belum lagi berkuat kuasa kerana terdapat syarat duluan yang belum dipenuhi.

“Oleh itu kenyataan Ahli Yang Berhormat Gombak bahawa kerajaan Persekutuan telah melanggari perjanjian adalah kenyataan yang tidak betul dan mengelirukan orang awam,” katanya.

Maximus menjelaskan kerajaan Persekutuan menawarkan untuk melanjutkan tempoh memenuhi syarat duluan perjanjian sebanyak tiga kali dan tempoh lanjutan ketiga tamat pada 9 Mac iaitu semalam dan menawarkan lagi untuk melanjutkan tempoh kepada Selangor.

Sehubungan itu katanya kerajaan amat kesal apabila Azmin sebagai Menteri Besar Selangor mengeluarkan kenyataan kepada media semalam bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk melanjutkan Perjanjian Utama.

Mengenai perkembangan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya, Maximus berkata sehingga 25 Feb lalu, kemajuan pembinaannya hanya pada 1.18 peratus berbanding pada jadual ditetapkan 3.43 peratus.

“Saya dimaklumkan kelewatan ini berlaku kerana kerajaan negeri Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan semula dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan sentiasa komited untuk melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor kerana ia memberi kesan terhadap rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.

Sesi soal jawab soalan itu juga agak tegang apabila Azmin bangkit mempersoalkan tindakan kerajaan Persekutuan yang didakwa membuat tuntutan pindah milik tanah bagi saluran batang paip air negeri itu yang melibatkan kawasan tanah seluas 26,000 kilometer.

Beliau berkata kerajaan negeri sedia menghormati perjanjian yang telah ditandatangani namun tindakan untuk pindah milik tanah itu didapati bercanggah daripada prinsip dan semangat dipersetujui.

“Adakah kerajaan Persekutuan cuba untuk merampas kedaulatan negeri Selangor dengan mengambil tanah-tanah ini. Ia adalah tanah yang ditempatkan saluran paip air, kenapa perlu dipindah milik?,” katanya yang menyebabkan situasi sedikit tegang dengan pertikaman lidah antara kedua-dua belah pihak.

Susulan kenyataan yang panjang daripada kedua-dua pihak, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menasihatkan Maximus dan Azmin agar membincangkan perkara itu di tempat lain dan lebih kondusif bagi menyelesaikan sebarang salah faham.

“Ini kerana perbincangan ini melibatkan isu yang amat penting jadi biarlah dibincang di tempat lain dan bukannya di sini kerana masanya singkat,” katanya yang menyifatkan sesi soal jawab bukan masa yang sesuai untuk berbahas dengan panjang lebar.

— BERNAMA