February 14, 2015

PRK : BN tidak mahu terburu-buru



Barisan Nasional (BN) tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan bagi menghadapi dua pilihan raya kecil melibatkan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan.

Sebaliknya, parti itu akan mengkaji secara mendalam segala aspek termasuk prestasi baik BN dalam dua pilihan raya kecil terakhir pada tahun lalu, iaitu di Parlimen Teluk Intan dan DUN Pangkalan Kubor sebelum membuat keputusan tepat mengenainya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika ini, jentera parti sedang mengkaji secara mendalam perkembangan politik di Permatang Pauh dan Chempaka selain menanti pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan dua kerusi tersebut.

“Pada peringkat ini terlalu awal bagi kita untuk membuat keputusan atau penilaian yang tepat tetapi sebagai sebuah parti kita memang mengkaji segala sudut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan hampir semua pemimpin tertinggi komponen BN.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dijangka kosong dalam tempoh 14 hari berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara kerana sabit kesalahan meliwat, manakala DUN Chempaka pula kosong selepas kematian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Ditanya apakah BN lebih selesa untuk bertanding sebagai calon bukan pilihan (underdog) berikutan cabaran getir terutama di DUN Chempaka, Najib berkata, perkara tersebut juga akan diputuskan kemudian selepas perbincangan rapi dibuat parti tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, BN akan terus memperkukuhkan lagi gerak kerja parti merangkumi segenap aspek membabitkan semua parti komponen untuk memastikan BN bukan sahaja kekal relevan tetapi lebih kuat berbanding sebelumnya.

“Kita akan terus memantapkan segala gerak kerja dan semua parti komponen akan menyelaras aktiviti serta program supaya kita menjadi lebih padu dan teratur dalam setiap kegiatannya,” katanya.


February 13, 2015

Azmin Ada Agenda Kekal Banduan Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

Tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengekalkan banduan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dilihat mempunyai agenda tersirat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan Azmin itu untuk mendapat sokongan daripada ahli PKR supaya dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

“Bila orang lihat kesetiaan dia terhadap Anwar, orang akan fikir Azmin adalah adalah seorang pemimpin yang sangat bagus, kemudian diberi kepercayaan oleh ahli PKR untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang,”kata Noh kepada bnbbc.my

Semalam, Azmin dalam kenyataannya menyatakan bahawa Anwar akan dikekalkan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor meskipun beliau dipenjarakan.

Jelas Azmin, ia tidak menjadi masalah untuk mendapatkan nasihat walaupun Anwar berada dalam Penjara Sungai Buloh.

Sementara itu, satu sumber yang pernah bertugas di bawah pemerintahan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu MalaysiaGazette kewujudan Anwar dalam posisi itu tidak memberi kesan terhadap ekonomi Selangor.

“Anwar tidak memainkan peranan besar pun sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sejak dulu lagi. Lantikan pun atas sebab politik sahaja. Sebab itu gaji yang diterima pun RM1 sahaja. Nilai gaji itu pun sudah menggambarkan segala-galanya,” kata sumber itu.

Sumber itu mendakwa, selama menjadi penasihat semasa di bawah pemerintahan Abdul Khalid, ketua pembangkang itu belum ada track record yang membawa pelaburan besar ke negeri itu.

“Kalau ada pun ia adalah hasil Abdul Khalid dan pelaburan sedia ada serta kedudukan Selangor itu sendiri. Jadi tidak hairanlah dengan keputusan Azmin kekalkan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi,” ujarnya.

Pada 22 September tahun lalu, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor di Plaza Perangsangditutup berkuatkuasa serta merta bagi menjimatkan kos pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Semenjak penubuhannya, pelbagai fitnah dan kontroversi telah timbul antara lain tohmahan gaji yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta peranan dan sumbangan yang beliau berikan kepada Kerajaan Selangor sesuai dengan jawatan yang disandang.

“Sehubungan itu, kita berpendapat adalah wajar Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor ditutup supaya peranannya tidak bertindih dengan tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai kerajaan negeri yang dikhususkan untuk menjaga hal ehwal ekonomi dan pelaburan Negeri Selangor,” kata Faekah Husin, CEO Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Namun, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu dibuka semula selepas Azmin mengambil alih jawatan MB Selangor yang baharu.


February 9, 2015

Tiada Isu Sekat Pelajar Bukan Islam Amal Ajaran Agama Di MRSM – Pengerusi Mara


Isu pelajar bukan Islam dilarang daripada mengamalkan ajaran agama masing-masing tidak pernah berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berkata seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, agama Islam adalah agama rasmi, manakala penganut agama lain bebas mengamalkan ajaran masing-masing.

“Maklum balas yang diterima daripada pelajar bumiputera lain di MRSM juga menafikan (larangan ini)…larangan pelajar membawa bible (ke MRSM) tidak pernah dikuatkuasakan, tidak jadi masalah bawa bible.

“Penjelasan yang dibuat menteri (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) juga tepat kerana benda itu tidak wujud,” katanya kepada Bernama selepas menutup Seminar Giatmara 2015 ‘Mendahului Agenda Bumiputera’, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang disiarkan sebuah portal berita Sabtu lepas, mendakwa peraturan MRSM di Sarawak dikatakan mula membimbangkan ibu bapa kerana cenderung terhadap garis panduan berkaitan agama Islam.

Pada Ahad, Mohd Shafie berkata MRSM tidak pernah mengenakan peraturan tambahan yang menyekat pelajarnya dari-pada menganuti dan mengamalkan ajaran agama masing-masing.

“Kita beri jaminan pusat latihan kita (MARA) termasuk MRSM adalah pusat untuk lahirkan bangsa Malaysia akan datang, kita berpandukan kepada perlembagaan dan tidak terdapat keadaan mengamalkan apa-apa bentuk yang tidak mencerminkan semangat 1Malaysia,” kata Annuar


February 7, 2015

Jangan Terpengaruh Pihak Cuba Timbul Kegusaran Agama - Jamil Khir


JERAI, 7 Feb- Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba menimbulkan 'kegusaran agama' dengan mempolemikkan isu tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata umat Islam seharusnya berpandukan kepada sumber yang betul misalnya Majlis Fatwa Kebangsaan dan bukannya kepada pegangan seseorang individu.

"Jangan timbul fitnah yang akan sebabkan sesama umat Islam berpecah, ini membawa kepada permusuhan dan kebencian yang dilarang dalam Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar kawasan Parlimen Jerai di Guar Chempedak di sini hari ini.

Jelasnya isu kalungan bunga dan pakaian kurta yang dipakai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam Selasa lepas sepatutnya tidak timbul memandangkan ia berkaitan dengan tradisi kaum India.

Anggota Parlimen Jerai itu berkata sesetengah pihak seolah-olah cuba menimbulkan ketegangan dengan mengungkit isu yang sama setiap tahun sedangkan penjelasan yang sebenar telahpun diberi.

"Kurta ialah pakaian tradisi, ia tiada kaitan dengan konsep pengibadatan dan ataupun konteks ajaran agama.

"Kalungan bunga pula ialah cara penghormatan kaum India kepada tetamu yang mereka pilih, semua majlis mereka kalung bunga, tapi masyarakat kena faham batas agama lah, majlis fatwa tidak pernah bangkitkan larangan ini," kata Jamil Khir.

Selasa lepas Najib meluangkan masa menyaksikan perayaan Thaipusam ke-125 tahun di Kuil Subramaniyar Swamy di Batu Caves, Kuala Lumpur dan sebagai menghormati majlis, beliau berpakaian tradisional India, Kurta.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran Najib pada majlis itu tidak menyalahi syarak, berpandukan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 12 April 2005.


Radikalisme Cabaran Terbesar Keselamatan Negara - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 7 Feb: Mencegah kalangan belia daripada menjadi golongan radikal adalah cabaran terbesar terhadap keselamatan negara di Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini penting bagi Malaysia berdasarkan ciri negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama.

Berucap kepada 1,500 peserta muda pada Simposium Kepimpinan dan Aspirasi Negara (NALS) ke-3, Hishammuddin menggariskan tiga langkah untuk menangani cabaran itu, termasuk perlunya memperjuangkan konsep kesederhanaan.

"Bagi diri saya, kesederhanaan terutamanya dalam konteks di Malaysia adalah tentang penerimaan. Kuncinya adalah bagi kita semua untuk menerima perbezaan kita, mencari titik persamaan bagi masalah yang kita hadapi dan bersama-sama menyelesaikannya," katanya.

Hishammuddin berkata satu lagi langkah penting adalah perlunya usaha menyeluruh untuk memastikan "anggota yang paling mudah terdedah dalam masyarakat kita, terutamanya kalangan belia lelaki, diberikan pilihan terhadap radikalisme".

"Jika kita mahu mengalahkan ekstremisme, tidak memadai untuk kita hanya membataskan usaha kita bagi penyusunan semula masyarakat kita untuk menjadi lebih seimbang dari segi sosio-ekonomi, begitu juga kita tidak boleh hanya bergantung kepada langkah-langkah keselamatan dan undang-undang," katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya aktiviti sukarela dapat memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan hubungan masyarakat Malaysia dan mengurangkan tarikan terhadap ekstremisme.

Hishammuddin berkata aktiviti sukarela berorientasikan belia di semua peringkat dapat menggalakkan keharmonian, mengurangkan gejala sosial dan mengukuhkan rasa cinta terhadap negara.

Kesediaan untuk berbincang dan berdebat tentang isu-isu sukar tanpa melampaui batasan sivil dan undang-undang juga merupakan langkah penting, katanya.

"Kita perlu lebih berusaha untuk memahami satu sama lain. Orang Islam perlu cuba untuk memahami orang bukan Islam dengan lebih baik dan begitu juga sebaliknya. Kita juga mesti cuba untuk memahami setiap masyarakat itu dengan lebih baik," katanya.

Mengakui bahawa langkah berkenaan bukan jalan penyelesaian segera terhadap ekstremisme, beliau berkata ia boleh menjadi satu kuasa untuk menjadikan rakyat lebih rapat antara satu sama lain.

"Jangan kita lupa bahawa matlamat ekstremisme adalah untuk mempengaruhi sasarannya untuk menjalankan kegiatan subversif. Oleh itu, kita perlu mempunyai komitmen lebih kukuh terhadap nilai-nilai kita, terutamanya kewujudan bersama secara aman dan meraikan perbezaan kita," kata Hishammuddin.

Beliau berkata program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dapat menyumbang ke arah mencapai usaha itu.

NALS 2015 adalah inisiatif Kelab UMNO Australia (KUA) dengan kerjasama Kelab UMNO Luar Negara (KULN) bagi mewujudkan platform untuk pelajar dan belia dalam membimbing dan memupuk ciri-ciri kepimpinan serta untuk melahirkan pemimpin masa depan.

Selain Hishammuddin, simposium bertema 'Dunia Globalisasi: Prinisp-prinsip Kepimpinan Inovatif' itu turut menarik kehadiran 18 personaliti lain termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden KakiSeni Low Ngai Yuen, yang dijadual akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka tentang pelbagai isu.

Sementara itu, dalam sidang media, Hishammuddin berkata transformasi PLKN sedang dikaji semula untuk ditambah baik, antara lain akan memberi penekanan terhadap penyuntikan nilai-nilai patriotisme dan kesukarelawan.

Transformasi itu penting kerana ia boleh membentuk gelombang kesatuan (antara masyarakat), katanya.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Belia dan Sukan sedang meneliti semula struktur dan pengisian program PLKN yang ditangguhkan buat sementara susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi intervensi ekonomi bulan lepas berikutan kejatuhan harga minyak dunia


Kerjasama ASEAN Mampu Tangani Ancaman IS Dengan Lebih Berkesan



KUALA LUMPUR, 7 Feb: Negara ASEAN mempunyai peluang lebih baik untuk menangani ancaman kumpulan militan IS jika kerjasama kukuh dapat dijalinkan antara kesemua 10 negara anggotanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kerana pergerakan kumpulan militan itu dipercayai merentasi negara Asean, sama ada sebagai negara destinasi mahupun transit.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan negara dalam menangani ancaman kumpulan militan itu pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kepimpinan dan Aspirasi Negara (NALS) ke-3, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan walaupun ancaman kumpulan IS sukar untuk disekat, namun keselamatan negara dalam keadaan terkawal.

"Kita mengamalkan dasar langit terbuka, penerbangan murah dan maklumat boleh menular merentasi sempadan, jadi sukar untuk kita kawal pergerakan orang, duit atau ideologi," katanya membandingkan insiden keganasan yang berlaku di Paris, Perancis dan Sydney, Australia baru-baru ini.

"Kalau Paris dan Sydney yang punya kecanggihan sistem maklumat, aset dan dengan sejarah kemampuan angkatan tentera, polis mereka pun masih susah nak tangani, bayangkan keadaan kita yang serba kekurangan," katanya.

Terdahulu dalam sesi soal jawab bersama kira-kira 1,500 belia yang hadir, Hishammuddin menegaskan pentingnya kumpulan belia menyedari ancaman kumpulan militan seperti IS sebagai langkah mengelak diri dari terjerumus dalam pergerakan yang tidak sepatutnya.

"Anda perlu sedar tentang ancaman itu dan apa yang sedang berlaku di hadapan kita," katanya.


February 1, 2015

#Malaysia Barang Bila Nak Turun? Peniaga Harus Laksana Penurunan Barang

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA
YB DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN #PuteriPeduli #OpsDP

'Peniaga perlu turunkan harga barang segera'

01 Februari 2015

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan sikap peniaga yang enggan menurunkan harga barangan selaras dengan penurunan harga petrol sebagai melampau.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk memastikan pengguna mendapat manfaat harga barang yang lebih rendah.

"Peniaga Bumiputera seharusnya menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan dan untuk itu mereka sepatutnya turut melakukan perkara yang sama terhadap pengguna, bukannya terus mengaut keuntungan yang berlebihan.

"Oleh kerana itu pengguna perlu bijak membuat pilihan. Sokongan anda untuk meletakkan kuasa pengguna paling tinggi amat diperlukan," katanya.

Beliau mengulas pengumuman harga baharu bagi petrol iaitu RON95 kini RM1.70 seliter penurunan sebanyak 21 sen manakala RON97 berharga RM2 seliter dengan penurunan sebanyak 11 sen.

Mas Ermieyati berkata, penurunan harga petrol telah memberi impak positif kepada ekonomi golongan muda terutama mereka yang baharu mempunyai keluarga dan wanita muda yang berpendapatan sederhana dan rendah, sepatutnya waktu ini adalah paling sesuai untuk membuat tabungan masa depan.

Beliau menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan peniaga yang sengaja tidak mahu menurunkan harga barang.

"Mereka tidak sepatutnya menjual pada harga lama yang lebih mahal kerana kos pengangkutan telah turun," katanya.

Katanya, KPDNKK harus ada mekanisme mereka sendiri untuk memastikan peniaga menurunkan harga barang, selain mengambil tindakan terhadap perniaga terbabit, kementerian boleh mengadakan kempen turunkan harga barang.


end-