September 15, 2015

#DEIG: Sidang DUN Selangor Yang Lalu Pamer Bukti Kenapa Azmin Terus Membisu  

Sehingga artikel ini ditulis, penulis berpendapat bahawa Azmin Ali merupakan antara ahli politik yang bijak menguruskan imejnya dalam gelora politik Selangor.

Suka tidak suka, beliau lebih suka berdiam diri dari menjawab isu-isu yang melingkari dirinya. Cuba saudara, saudari menoleh ke belakang, dan kembali mengenang isu-isu tersebut. Penuh dengan skandal, dan berstatus “panas”.

Sifat diam itu ternyata lebih baik dari sesetengah pemimpin UMNO, yang terlalu suka menjawab di media tetapi akhirnya memberi impak negatif kepada UMNO dan Barisan Nasional. Bagi Azmin, beliau menggunakan strategi diam untuk menurunkan suhu politiknya.

Mengapa diam menjadi senjatanya, terungkai pada sidang DUN Selangor yang lalu dalam beliau menjawab isu RM30 juta Darul Ehsan Group Investment.

Pemerhatian penulis menyaksikan bahawa beliau cuba mengelak untuk menjawab isu pokok DEIG, tetapi lebih kepada jawapan-jawapan sarkastik terhadap mereka-mereka yang cuba membangkitkan isu berkenaan.

Lebih tepat, Azmin Ali lebih gemar membuat “character assassination” terhadap ADUN-ADUN yang bersuara atas isu tersebut. Hujahnya tetap ingin mengaitkan betapa bagusnya pemerintahan Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional di Selangor. Mujur pada waktu itu belum ada maklumat tentang bilangan GLC yang mengalami kerugian. Jika tidak, pasti merah padam mukanya jelas kelihatan.

Jawapan-jawapan yang diberikan pantas dikilas oleh ADUN Damansara Utama berdasarkan fakta, yang akhirnya menyaksikan dirinya tidak mampu lagi membendung emosi amarahnya sekalipun cuba bersikap tenang. Jika tenang, beliau harus menjawab perkara pokok, dan bukannya bersifat sarkastik dan cuba merendah-rendahkan ADUN-ADUN yang bersuara atas kebimbangan wujudnya DEIG yang berstatus syarikat RM2 itu.

Paya Jaras, Bukit Tunku, Damansara Utama semua membangkitkan kebimbangan atas kewujudan DEIG yang dilihat akan berlegar di atas Menteri Besar Incorporated sekaligus memberi kuasa penuh persis sebuah syarikat sendirian berhad, berbanding perbadanan yang terikat dengan enakmen negeri Selangor.

Malah, desakan dari Sungai Panjang agar Azmin menjawab perkara pokok berkenaan DEIG juga tidak dijawab. Azmin enggan menjawab.

Hujah kononnya DEIG hanya akan beroperasi tahun hadapan sudah terbatal dengan dakwaan bayaran zakat yang dibuat, serta liputan berita di The Edge.

Hujah kononnya SPRM menegaskan tiada apa-apa yang pelik berlaku di dalam DEIG juga tidak boleh digunapakai, kerana pihak pembangkang hanya mengambil satu perenggan dari seluruh kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM.

Azmin terus membisu, mungkin juga sedang memikirkan apakah strategi terbaik bagi keluar dari skandal terbaru ini. Tekanan yang kini dihadapinya bukan sekadar dari sudut isu semasa, malah juga tahaluf siyasinya.

Laman twitter menjadi saksi “perang” antara dirinya dengan Teo Ni Ching. Ramkarpal juga memberi kata dua kepada Azmin, samada memilih DAP atau PAS. Pandai pula Azmin menjawab dalam soal pilih antara PAS atau DAP.

Tapi, mengapa terus membisu tentang DEIG?

September 2, 2015

Kewangan Masa Depan Perlu Ada Kaitan Kukuh Dengan Ekonomi Benar – Zeti

 Aspek kewangan masa depan perlu mempunyai kaitan lebih kukuh dengan ekonomi benar menerusi peranan perantaraan yang memberi khidmat kepada masyarakat.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata sistem kewangan juga harus mencakupi aspek nilai tambah dan berasaskan nilai untuk membolehkannya menyumbang dengan lebih bermakna sebagai perantara dan kemudahan untuk aktiviti ekonomi benar yang memanfaatkan orang ramai.

“Sistem kewangan seumpamanya amat diperlukan dalam ekonomi global,” katanya berucap pada Forum Etika Kewangan Global di Edinburgh, Scotland, semalam.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini, hari ini.

Zeti berkata, kebanyakan negara membangun misalnya, turut memerlukan sejumlah dana besar bagi menampung pembangunan infrastruktur.

Aspek kewangan terangkum turut menjadi agenda utama bagi meningkatkan kehidupan kelompok yang tersisih dalam komuniti global, katanya.

Justeru, katanya, penting untuk mewujudkan rejim yang mengamalkan kedua-dua aspek nilai tambah serta kewangan berasaskan nilai dengan teras prinsip sejagat yang akan menghasilkan model mampan bagi kewangan positif dalam sistem kewangan global.

“Rejim yang berteraskan aktiviti pengeluaran baik iaitu tidak menggalakkan hutang berlebihan dan menekankan soal ketelusan serta mengukuhkan hubungan  pihak kewangan-pelanggan sudah pasti dapat menjadi penggerak positif dalam sistem kewangan global.

Menurut Gabenor bank pusat itu, aspek itu adalah antara asas kewangan Islam yang terbukti kian penting di kebanyakan pelusuk dunia.

Malah, langkah mengukuhkan aspek penawaran dan permintaan kewangan nilai tambah dan berasaskan nilai akan menyumbang ke arah peningkatan hubungan sistem kewangan global kepada ekonomi benar.

Zeti turut membangkitkan kepentingan untuk memupuk kepemimpinan lebih kukuh di tahap global yang membolehkan peranan sokongan serta kemudahan meleraikan isu halangan selain menyatukan pelbagai pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam persekitaran lebih teratur.