February 17, 2016

Azmin Kini Makin Lemas Dalam Timbunan Isu Di Selangor

Presiden NGO Abata, Azrinizam Ibrahim berkata rakyat di Selangor hari ini menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dalam pelbagai isu yang sehingga ke hari ini tidak ada sebarang kenyataan mahupun penjelasan yang dibuat oleh beliau.

Menurut Azrinizam, Azmin Ali yang kini ditimbuni oleh pelbagai isu seperti isu dana air sebanyak RM.7.6 bilion, isu kos pembinaan kubah, pintu gerbang dan beberapa lagi isu, di mana isu-isu ini sepatutnya diberikan oleh penjelasan oleh Menteri Besar itu sendiri.

“Isu dana air sebanyak 7.6 bilion masih lagi tidak terjawab. Isu kubah, isu pintu gerbang pun sama tidak dijawab oleh beliau sehingga ke hari ini biarpun didesak bertalu-talu oleh rakyat. Hari ini, timbul pula isu ketirisan dan ketidak telusan dalam isu pelantikan ahli majlis PBT di Selangor di mana ahli PKR sendiri mendakwa wujudnya unsur kroni dalam pelantikan tersebut.

“Bagaimanapun Azmin seperti biasa sehingga ke hari ini masih lagi membisu dan saya lihat tindakan Azmin hari ini mirip kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang seringkali mengelak daripada memberikan penjelasan berhubung isu-isu berbangkit yang diminta penjelasan oleh rakyat.

“Secara tidak langsung, sikap Azmin yang membisu mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat membuktikan bahawa tidak ada ketelusan di dalam pentradbiran beliau. Pandangan saya, jika begini sikap Azmin maka saya rasa pentadbiran beliau sebenarnya lebih teruk dan lebih tidak telus berbanding MB Selangor sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, Azmin juga dilihat bukan sekadar gagal menjawab isu-isu yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat, malah dia juga disifatkan sebagai gagal dalam menyelesaikan isu pergolakan dalaman pakatan Selangor itu sendiri.

“Saya lihat isu dalaman pakatan pembangkang di Selangor masih lagi tidak selesai. Khususnya berhubung isu Pas, Dap begitu juga parti Amanah di mana tidak ada sebarang kata putus yang dapat diberikan oleh beliau berhubung perkara ini. Bahkan, status pakatan pembangkang di Selangor juga masih lagi tergantung di mana persoalan timbul pakatan yang mana satukah yang mentadbir Selangor hari ini?

“Apabila Azmin gagal menyelesaikan konflik dalaman antara parti yang menjadi pemerintah di Selangor, maka secara tidak langsung permasalahan antara kepimpinan parti pembangkang di Selangor akan menjejaskan tumpuan kerajaan negeri untuk membantu dan membela rakyat.

“Ekoran permasalahan dan konflik dalaman itu kita dapat lihat, wujudnya pelbagai isu di Selangor hari ini yang berkait rapat dengan kebajikan rakyat seperti isu kes denggi yang begitu tinggi di Selangor, isu air dan banyak lagi isu yang mengambil masa begitu lama untuk di selesaikan oleh kerajaan negeri, lantaran kepimpinan pembangkang lebih menumpukan perhatian terhadap konflik dalaman sesama sendiri,” ujarnya