November 17, 2015

Pinjaman RM500 juta, DEIG perlu disiasat


Pembongkaran bahawa wujudnya pinjaman RM500 juta oleh Darul Ehsan Investment Group (DEIG) menjadikan syarikat tersebut dalam kedudukan yang amat mencurigakan. Oleh itu DEIG harus disiasat.

Alasan tersebut dikatakan cukup kukuh memandangkan perkembangan terkini termasuk desas-desus bahawa DEIG memohon pinjaman RM500 juta kerana ianya bercanggah dengan jaminan pentadbiran Selangor yang mengatakan syarikat pelaburan negeri itu belum lagi beroperasi sepenuhnya.

Perkara ini perlu dibawa ke dalam mesyuarat JP-ABAS yang akan datang dan sesi pendengaran adalah perlu. JP-ABAS ialah jawatankuasa pilihan khas DUN yang menyelia syarikat berkaitan kerajaan. Pendengaran perlu kerana pegawai DEIG tidak mendedahkan pada mesyuarat Julai lalu yang syarikat itu sudah memohon pinjaman.

JP-ABAS sudah mengadakan sesi pendengaran tertutup dengan pegawai tertinggi DEIG pada Julai untuk mengenal pasti mengapa syarikat itu ditubuhkan, strukturnya dan sama ada terdapat mekanisme yang cukup bagi memastikan ia beroperasi secara telus dan berakauntabiliti.

Selain daripada itu juga, menurut sumber, anak syarikat di bawah DEIG juga sudah mengubah nama mereka, sekali gus memberi isyarat bahawa syarikat itu beroperasi sepenuhnya.

Untuk makluman, firma pelaburan kerajaan Selangor mendapat tentangan DAP yang mempersoalkan kekurangan akauntabiliti dalam menguruskan pelaburan.

Menurut Azmin Ali, objektif DEIAzmin-Ali-DEIG-Selangor-MBIG adalah untuk mengukuhkan aset negeri dan menyusun semula semua syarikat berkaitan kerajaan di bawah cabang pelaburan semasa Selangor iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI).

Walaubagaimanapun, struktur tadbir urusnya tidak perlu menjawab kepada badan perundangan negeri telah mengundang pertikaian.

Mengikut kenyataan JP-ABAS pada Julai lalu, DEIG ialah sebuah entiti swasta yang ditubuhkan pada Disember 2014 untuk menguruskan pelaburan strategik, dan juga merasionalisasikan dan menyusun semula semua anak syarikat di bawah MBI.

DEIG akan dimiliki sepenuhnya oleh MBI manakala lembaga pengarahnya akan terdiri daripada menteri besar, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri dan ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai operasi MBI.

MBI mempunyai antara RM20 bilion dan RM30 bilion aset dan memiliki kira-kira 5,000 hektar tanah di seluruh Selangor.

Pada Julai, JP-ABAS mempersoalkan keperluan menubuhkan DEIG kerana anak syarikat MBI boleh disusun semula tanpanya.

Antara penemuan lain jawatankuasa itu ialah DEIG tiada satu sistem mantap untuk tadbir urus yang baik dan berakauntabiliti.

Dengan itu, JP-ABAS menggesa pentadbiran Selangor membentangkan kertas putih dalam Dewan untuk menerangkan operasi DEIG dan mewajarkan keperluannya.

Sejak dari mula lagi penubuhan DEIG memang amat mencurigakan. Motif sebenar menjadi topik hangat perbincangan pembangkang dan kerajaan. Bayangkanlah kera mendapat bunga, maka hancurlah bunga tersebut. Mungkin itulah perumpamaan yang tepat berkenaan DEIG.

Sebenarnya Azmin Ali perlu menumpukan segala sumber yang ada dalam mentadbir Selangor. Sejak beliau menjadi Menteri Besar Selangor, tidak ada sebarang perubahan yang membanggakan untuk Selangor. Masalah Aedes, sampah, banjir dan lain-lain masih gagal diatasi.

Segala gimmik sembur ubat nyamuk dalam bas, terjun masuk longkang, periksa lori sampah merupakan sekadar drama untuk mengaburi mata rakyat. Memang Selangor agak malang sejak kebelakangan ini