December 15, 2015

Gunakan Media Sosial Untuk Kebaikan - Salleh

 Rakyat negara ini diminta lebih berhati-hati dan bijak menggunakan media sosial dengan memanfaatkannya hanya untuk perkara kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat Malaysia tidak harus menyalah gunakan kemudahan itu untuk perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat di negara ini.

"Media sosial satu keperluan kepada masyarakat. Banyak urusan menggunakan media sosial. Jadi bukan semua perkara dalam media sosial itu buruk. Yang penting, sebagai pengguna kita harus menggunakan media sosial ini untuk kebaikan dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat," katanya.

Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama bertajuk 'Peranan Penjawat Awam Dalam Penyebaran Maklumat Melalui Media Sosial' di hadapan penjawat awam persekutuan di Kompleks Pentadbiran Persekutuan, di sini hari ini.

Salleh berkata Malaysia mengambil pendirian tidak menyekat penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat di negara ini seperti diamalkan di beberapa negara, termasuk negara kuasa besar atas kesedaran media sosial banyak kebaikan dan perlu dilihat dari sudut positifnya.

Beliau berkata dengan menyekat penggunaan media sosial, ia akan menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat global, sekali gus boleh membantutkan usaha Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju.

"Malaysia ingin menuju sebagai negara maju dan kita juga berjanji kepada dunia, kita adalah sebuah negara yang tidak akan menyekat perkembangan teknologi seperti ini (media sosial).

"Tetapi, ini tidak bererti mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan media sosial, undang-undang tidak akan digunakan (ke atas mereka)," katanya.

Bagi pihak kerajaan, Salleh berkata kementeriannya akan terus mendidik rakyat Malaysia mengenai kebaikan media sosial serta pentingnya medium komunikasi itu digunakan sebaik-baiknya.

Terdahulu dalam ucap utamanya, Salleh mengingatkan penjawat awam persekutuan di Sabah agar menggunakan media sosial secara lebih bertanggungjawab, dan untuk membantu mereka meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata media sosial harus digunakan untuk menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat serta memperoleh maklum balas daripada mereka bagi membolehkan tindakan pantas dapat ambil bagi menyelesaikan sebarang masalah.

"Dunia sekarang tidak lagi seperti dahulu. Penjawat awam tidak boleh lari daripada media sosial. Saya harap, gunakan sebaik-baiknya media sosial ini. Bukannya untuk terlibat dalam viral benda yang tidak ada kesahihannya. Kita jangan terlibat dalam perkara sedemikian," katanya.

-- BERNAMA

Anina Tiada Hak Perundangan Saman Najib Berhubung Derma RM2.6 Bilion, Mahkamah Diberitahu

Bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memfailkan saman terhadap presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha kerja Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf, berkata Anina bukan seorang pegawai awam UMNO dan oleh itu tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

"Plaintif bukan pegawai awam UMNO yang telah diisytiharkan (sedemikian) dan didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu tidak kompeten untuk memulakan tindakan ini terhadap defendan," hujah Mohd Hafarizam dalam permohonan Najib dan Ab Rauf untuk membatalkan saman Anina.

Beliau juga berhujah, Anina tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengekalkan saman itu kerana keahliannya dalam UMNO telah gugur apabila memfailkan saman mengikut Perkara 20.7 Perlembagaan parti.

Sambil merujuk kepada keputusan hakim Mahkamah Tinggi minggu lepas, dalam satu lagi saman oleh Anina, bahawa keputusan untuk menggugurkan keahlian Anina dalam UMNO adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah mengikut Seksyen 18C Akta sama, Mohd Hafarizam berkata mahkamah ini, oleh itu, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman yang difailkan oleh Anina berkaitan hal ehwal parti.

"Saman ini juga tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk tindakan terhadap defendan, dan oleh itu ia mendedahkan defendan kepada skandal, bersifat remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah yang harus dibatalkan oleh mahkamah ini," kata Mohd Hafarizam ketika berhujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina pula berhujah bahawa anak guamnya telah memfailkan tindakan derivatif terhadap defendan atas nama UMNO, untuk dan bagi pihak UMNO dan ahli-ahlinya, seperti dibenarkan di bawah undang-undang.

"Justeru, walaupun jika keahliannya dalam UMNO telah ditamatkan, ia tidak menghalang tindakan yang telahpun difailkan oleh Anina. Saman ini adalah khusus untuk menangani salah laku defendan pertama, seperti dinyatakan dalam pernyataan tuntutan.

"Pada peringkat ini, adalah jelas bahawa ini bukan kes biasa dan jelas untuk terus dibatalkan," kata beliau.

Mahkamah menetapkan 31 Dis untuk keputusan terhadap permohonan Najib dan Ab Rauf.

Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Ab Rauf, antara lain, bagi menuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion (US$650 juta) yang dikatakan dimasukkan oleh presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura.

-- BERNAMA