February 14, 2015

PRK : BN tidak mahu terburu-buru



Barisan Nasional (BN) tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan bagi menghadapi dua pilihan raya kecil melibatkan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan.

Sebaliknya, parti itu akan mengkaji secara mendalam segala aspek termasuk prestasi baik BN dalam dua pilihan raya kecil terakhir pada tahun lalu, iaitu di Parlimen Teluk Intan dan DUN Pangkalan Kubor sebelum membuat keputusan tepat mengenainya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika ini, jentera parti sedang mengkaji secara mendalam perkembangan politik di Permatang Pauh dan Chempaka selain menanti pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan dua kerusi tersebut.

“Pada peringkat ini terlalu awal bagi kita untuk membuat keputusan atau penilaian yang tepat tetapi sebagai sebuah parti kita memang mengkaji segala sudut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan hampir semua pemimpin tertinggi komponen BN.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dijangka kosong dalam tempoh 14 hari berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara kerana sabit kesalahan meliwat, manakala DUN Chempaka pula kosong selepas kematian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Ditanya apakah BN lebih selesa untuk bertanding sebagai calon bukan pilihan (underdog) berikutan cabaran getir terutama di DUN Chempaka, Najib berkata, perkara tersebut juga akan diputuskan kemudian selepas perbincangan rapi dibuat parti tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, BN akan terus memperkukuhkan lagi gerak kerja parti merangkumi segenap aspek membabitkan semua parti komponen untuk memastikan BN bukan sahaja kekal relevan tetapi lebih kuat berbanding sebelumnya.

“Kita akan terus memantapkan segala gerak kerja dan semua parti komponen akan menyelaras aktiviti serta program supaya kita menjadi lebih padu dan teratur dalam setiap kegiatannya,” katanya.


No comments:

Post a Comment