February 13, 2015

Azmin Ada Agenda Kekal Banduan Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

Tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengekalkan banduan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dilihat mempunyai agenda tersirat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan Azmin itu untuk mendapat sokongan daripada ahli PKR supaya dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

“Bila orang lihat kesetiaan dia terhadap Anwar, orang akan fikir Azmin adalah adalah seorang pemimpin yang sangat bagus, kemudian diberi kepercayaan oleh ahli PKR untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang,”kata Noh kepada bnbbc.my

Semalam, Azmin dalam kenyataannya menyatakan bahawa Anwar akan dikekalkan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor meskipun beliau dipenjarakan.

Jelas Azmin, ia tidak menjadi masalah untuk mendapatkan nasihat walaupun Anwar berada dalam Penjara Sungai Buloh.

Sementara itu, satu sumber yang pernah bertugas di bawah pemerintahan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu MalaysiaGazette kewujudan Anwar dalam posisi itu tidak memberi kesan terhadap ekonomi Selangor.

“Anwar tidak memainkan peranan besar pun sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sejak dulu lagi. Lantikan pun atas sebab politik sahaja. Sebab itu gaji yang diterima pun RM1 sahaja. Nilai gaji itu pun sudah menggambarkan segala-galanya,” kata sumber itu.

Sumber itu mendakwa, selama menjadi penasihat semasa di bawah pemerintahan Abdul Khalid, ketua pembangkang itu belum ada track record yang membawa pelaburan besar ke negeri itu.

“Kalau ada pun ia adalah hasil Abdul Khalid dan pelaburan sedia ada serta kedudukan Selangor itu sendiri. Jadi tidak hairanlah dengan keputusan Azmin kekalkan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi,” ujarnya.

Pada 22 September tahun lalu, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor di Plaza Perangsangditutup berkuatkuasa serta merta bagi menjimatkan kos pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Semenjak penubuhannya, pelbagai fitnah dan kontroversi telah timbul antara lain tohmahan gaji yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta peranan dan sumbangan yang beliau berikan kepada Kerajaan Selangor sesuai dengan jawatan yang disandang.

“Sehubungan itu, kita berpendapat adalah wajar Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor ditutup supaya peranannya tidak bertindih dengan tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai kerajaan negeri yang dikhususkan untuk menjaga hal ehwal ekonomi dan pelaburan Negeri Selangor,” kata Faekah Husin, CEO Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Namun, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu dibuka semula selepas Azmin mengambil alih jawatan MB Selangor yang baharu.


No comments:

Post a Comment